Search This Blog

Wednesday, November 30, 2011

Tujuh iPad dilarikan ‘majikan’

KUALA LUMPUR: Malang bertimpa buat seorang remaja yang baru seminggu bekerja apabila bukan saja kerugian hampir RM15,000, malah dituduh bersubahat dengan seorang lelaki tidak dikenali yang menyamar sebagai majikannya dalam satu kejadian pada 22 November lalu.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Lee, 18, baru bekerja di sebuah kedai menjual barangan komputer di sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway, di sini, apabila dia dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai majikannya bernama Khoo.


Menurut Lee, dalam perbualan terbabit, dia disuruh menguruskan penjualan tujuh iPad dan sebuah iPod kepada seorang pelanggan tetap dikenali sebagai Yap.

“Saya hanya menurut arahan diberikan memandangkan belum pernah berjumpa dengan majikan sebelum ini dan tidak mengesyaki sebarang masalah akan timbul.


“Beberapa ketika kemudian, seorang lelaki berusia 40-an datang ke kedai mengatakan dia pekerja Yap yang akan membawa barangan yang ditempah itu ke kereta majikannya sebelum Yap tiba bagi menjelaskan bil barangan itu.


“Hampir setengah jam menunggu, saya berasa curiga dan cuba menghubungi Yap sekali lagi namun talian dimatikan dan dia tidak muncul untuk membuat pembayaran setelah semua barangan berkenaan diambil pekerjanya,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di Wisma MCA.

Lee berkata, selepas hampir sejam menunggu, kelibat Yap masih belum kelihatan lalu dia menghubungi majikannya bertanyakan berkaitan arahan yang diberikan namun Khoo memberitahu tidak pernah membuat sebarang panggilan kepadanya.


“Saya mula mengesyaki ditipu lalu membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sunway dan malang apabila saya kemudian dituduh bersubahat sedangkan saya hanya menurut arahan yang diberikan memandangkan baru seminggu bekerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya akan cuba membantu menyiasat jika terdapat unsur sindiket penipuan memandangkan sudah beberapa aduan berkaitan kes sama diterima.


“Kami khuatir jika perkara ini tidak dibendung, ramai lagi individu tidak bersalah akan menjadi mangsa keadaan seperti kes ini,” katanya.

myMetro | Tujuh iPad dilarikan ‘majikan’:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment