rumah-terbakar

FELDA KEPAYANG – “Tiada apa dapat diselamatkan menyebabkan kami sekeluarga hanya tinggal sehelai sepinggang.”

Demikian luahan mangsa kebakaran, Ahmad Zaki Anjang Saad, 51, apabila rumah pekerja sebuah kilang sawit yang didiami dia sekeluarga di sini hangus terbakar kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin.

Menurutnya, semasa kejadian, tiada sesiapa berada di rumah kerana dia bekerja, manakala dua anak lelakinya bermain bersama kawan di kawasan sekitar perkampungan itu.

“Apabila dapat panggilan daripada anak, saya bergegas balik. Hanya sebelah dinding sedang terbakar ketika saya tiba di rumah.

“Sedangkan yang lain sudah hangus terbakar. Semua dokumen penting termasuk sijil kelahiran dan buku bank juga tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, ia berikutan semasa kejadian, hanya tong gas dan mesin basuh sempat diselamatkan penduduk kerana bimbang ia akan memudaratkan lagi keadaan.

Menurutnya, jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung dianggarkan mencecah RM20,000.

“Semasa kejadian, isteri, Siti Haida Abd Kadir, 38, bersama seorang lagi anak kami tiada di rumah sejak Ahad lalu kerana mengikuti rombongan sekolah ke Pulau Langkawi. Buat masa ini, kami anak beranak akan tinggal di rumah pekerja yang kosong berdekatan.

“Malah, sejak semalam, saya ada menerima pelbagai bantuan daripada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat yang datang meninjau keadaan di sini,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana anak-anaknya tiada di rumah semasa kejadian dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mereka sekeluarga.