Search This Blog

Thursday, November 10, 2011

Tikam tujuh kali

 ALOR GAJAH: Seorang pemuda bermotosikal menggemparkan penduduk di sini apabila bertindak ganas merompak dan menikam dua mangsa termasuk peniaga wanita warga emas di lokasi berlainan dalam tempoh hanya setengah jam, petang semalam.
Difahamkan, suspek yang dianggarkan berusia antara 25 dan 30 tahun menikam sehingga mati ketika merompak peniaga kedai runcit, Tey Ah Keh, 64, di Kampung Parit Melana, dekat sini, dalam kejadian pertama 1.45 tengah hari.

Suspek kemudian dipercayai merompak dan menikam seorang lagi mangsa, iaitu peniaga telefon bimbit, Alvin Cham Boon Chuen, 32, di sebuah premis di Taman Angsa Mas, Gangsa, yang terletak kurang 10 kilometer dari tempat kejadian pertama jam 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mayat Tey dijumpai orang ramai dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di pintu masuk kedainya.

Katanya, ketika kejadian mangsa yang berseorangan dipercayai didatangi suspek dan berlaku pergelutan sebelum mangsa meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditikam tujuh kali apabila tiga tikaman pada bahagian rusuk kanan, masing-masing satu tikaman di perut dan dada. Dua tikaman lagi di pangkal paha, dipercayai mangsa ada bergelut untuk cuba melawan suspek yang menggunakan senjata tajam.

“Kami juga percaya suspek melarikan hasil jualan mangsa, namun jumlahnya masih dalam siasatan dan tiada senjata yang dijumpai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5562222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kejadian kedua, Alvin cedera parah selepas ditikam dua kali di bahagian perut dipercayai oleh suspek sama dan kini menerima rawatan di Hospital Pantai.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan/Operasi), Superintendan R Gunarajan berkata, polis kini giat memburu suspek selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan.

“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa didatangi suspek yang ketika itu berpura-pura membeli kad tambah nilai dan kemudian terus menikam mangsa.

“Kita percaya terdapat pergelutan selepas tikaman apabila mangsa mempertahankan diri menggunakan rotan sebelum suspek melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian mendapatkan bantuan orang ramai sebelum dikejarkan ke hospital.

Katanya, jumlah kerugian dan rakaman CCTV masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Saksi melihat suspek berbaju T merah, berseluar jean biru dan kasut putih melarikan diri menggunakan motosikal jenis Honda EX5. Kami kini giat memburu suspek hasil rakaman CCTV yang diperoleh,” katanya.

No comments:

Post a Comment