Search This Blog

Wednesday, November 30, 2011

Suspek kes curi kereta diberkas


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Seorang lelaki yang dikehendaki polis diberkas bersama sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam jenayah samun di Taman Miharja, Cheras di sini, semalam.

Suspek berusia 44 tahun itu dan terlibat dalam banyak kes samun kereta ditahan hasil risikan Cawangan Risikan Jenayah (D4), Polis Kontinjen Kuala Lumpur sejak sebulan lalu.

Menurut sumber, suspek ditahan pada pukul 10.05 malam ketika berada dalam sebuah kereta jenis Honda Civic.

"Ketika diperiksa, polis menemui sepucuk pistol automatik jenis 9mm buatan Republik Czech bersama satu kelopak berisi 10 butir peluru hidup dalam tempat simpanan barang kereta tersebut.

"Pistol itu dipercayai digunakan suspek dan kumpulannya untuk mengugut mangsa seterusnya menyamun kenderaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sumber itu memberitahu, siasatan turut mendapati, kereta yang dinaiki suspek merupakan kenderaan curi menggunakan nombor pendaftaran palsu selain nombor casisnya juga telah dikikis.

Katanya, polis turut menemui sebuah kereta jenis Toyota Camry setelah suspek membawa polis ke sebuah kondominium.

"Kenderaan itu disamun dari seorang doktor di Damansara pada 13 November lalu dan ketika kejadian, mangsa sedang mengisi angin tayar keretanya," jelasnya.

Mengulas lanjut, suspek bersama kumpulannya juga dikatakan menggunakan taktik langgar dari belakang sebelum menyamun.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu dan memberitahu, suspek ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Utusan Malaysia Online - Kota:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment