Search This Blog

Thursday, November 10, 2011

Suspek belasah bekas tunang dicekup selepas dua minggu

 KUALA TERENGGANU: Dua lelaki dan seorang wanita yang membelasah bekas tunang adik perempuan salah seorang daripada mereka berjaya diberkas dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Kerteh, awal pagi semalam.
Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 21 hingga 32 tahun, ditahan di rumah masing-masing antara jam 1.30 hingga 3.30 pagi, selepas hampir dua minggu usaha mengesan dilakukan pihak berkuasa.

Penahanan dua lelaki dan wanita itu berikutan laporan seorang lelaki berusia 20 tahun yang cedera dibelasah menggunakan buku lima dan pengunci stereng kereta selama hampir setengah jam, dipercayai berpunca perselisihan faham antara mereka sebelum mangsa ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Baru Labohan, Kerteh pada pada 26 Oktober lalu.

Menurut sumber, dua lelaki dan wanita itu bertemu mangsa ketika dia keluar dari sebuah kedai serbaneka di Pusat Niaga Paka, Dungun kira-kira jam 11 pagi, untuk ke kereta Perodua Kancil miliknya yang diletak di tepi jalan.

Seorang daripada lelaki berkenaan yang juga abang kepada bekas tunangnya menepuk belakang badan mangsa dan memaksanya masuk ke dalam kereta berkenaan.

“Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa yang mengenali semua mereka mengikut arahan dan duduk di bahagian belakang dengan diapit abang kepada bekas tunangnya dan seorang lagi lelaki yang juga ahli keluarga bekas tunangnya.

“Wanita berkenaan memandu kereta mangsa menghala ke Kemaman sebelum memberhentikan kereta itu di tepi jalan di Kampung Baru Labohan, Kerteh, 20 minit kemudian.

“Mereka memaksa mangsa keluar dari kereta sebelum sebuah lagi kereta dinaiki seorang lelaki tiba. Mangsa kemudian dipukul menggunakan buku lima dan pengunci stereng kereta di bahagian badan dan kepala selama hampir 30 minit,” katanya.

Menurutnya, mereka turut merosakkan kereta mangsa serta mengambil beg duitnya mengandungi wang tunai RM100 dan telefon bimbit.

“Suspek turut membawa pulang kereta mangsa sebagai cagaran dan menyuruh bapanya datang ke rumah seorang daripada mereka jika mahu mengambil kereta itu semula bersama sejumlah wang,” katanya

No comments:

Post a Comment