Search This Blog

Tuesday, November 29, 2011

Surau Al-Hidayah musnah dalam kebakaran



Mohd. Johari Baharum (tengah) berbual dengan penduduk ketika meninjau kesan kebakaran surau Al-Hidayah, Taman Melur, Wang Tepus, Jitra semalam.


KUBANG PASU 28 Nov. - Surau Al-Hidayah di Taman Melur Kristal, Jitra dekat sini yang dibina hasil wang sumbangan orang ramai tujuh tahun lalu musnah dalam kebakaran petang semalam.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 6.45 petang dan api dipercayai bermula dari dalam surau sebelum memusnahkan seluruh struktur tempat ibadah itu.

Pengerusi surau, Mat Hassan Abu Bakar, 52, memberitahu, kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas itu memusnahkan surau yang dibina pada tahun 2004 hasil usaha penduduk taman itu.

"Syukur tiada kemalangan jiwa kerana ketika kejadian, jemaah berada di rumah bersiap-siap untuk ke surau bagi menunaikan solat Maghrib," katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum di sini hari ini.

Menurut Mat Hassan, kejadian tersebut bagaimanapun amat menyedihkan penduduk di kawasan tersebut yang seramai 500 orang.

"Kerugian dianggarkan RM80,000 melibatkan nilai bangunan dan peralatan dalam surau yang gagal diselamatkan," katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Saadiah Idris, 53, memberitahu, dia terkejut mendengar jeritan suaminya yang terlihat api dari arah surau tersebut.

"Sejurus keluar, saya nampak api sudah marak dan membakar surau itu," katanya.

Sementara itu, Mohd. Johari berkata, pihaknya akan menyediakan sebuah surau sementara bagi kegunaan jemaah di kawasan tersebut.

Katanya, permohonan penduduk untuk membina surau baru bernilai RM200,000 akan dihantar ke Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) hari ini.

"Diharapkan ICU dapat meluluskan segera peruntukkan khas itu bagi pembinaan semula surau yang terbakar," katanya.

Utusan Malaysia Online - Utara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment