Search This Blog

Wednesday, November 30, 2011

Saksi terima 11 telefon bimbit


SHAH ALAM 29 Nov. – Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima 11 unit telefon bimbit pelbagai jenis, kad memori dan peranti storan media (pendrive) daripada pegawai penyiasat kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Bagaimanapun, dua daripada telefon bimbit tersebut iaitu jenis BlackBerry berwarna hitam dan putih ketika diserahkan kepadanya oleh Asisten Supritendan (ASP) Ishak Yaakob pada 17 September tahun lalu, berada dalam keadaan terdapat wap di sekelilingnya.

Oleh itu, ASP Mohd. Zulkifly Mohd. Isa, 31, yang merupakan juruanalisis kanan Seksyen Jenayah Komputer, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, telah membuka bingkai kedua-dua telefon bimbit berkenaan dan mengeringkannya menggunakan ‘blower’ (penghembus) selepas membawa barang-barang tersebut ke makmal telefon.

Pada prosiding sebelum ini, dua telefon bimbit BlackBerry tersebut telah dicam sebagai milik dua mangsa iaitu peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim (BlackBerry putih) dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad (BlackBerry hitam).

Pada tarikh yang sama, saksi pendakwa ke-76 itu menyatakan, ada menerima beberapa lagi telefon bimbit antaranya telefon pintar jenis iPhone.

Difahamkan, telefon pintar tersebut milik isteri salah seorang mangsa kejadian bunuh tersebut.

Mohd. Zulkifly menyatakan demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dalam perbicaraan kes bunuh tersebut.

Pada prosiding sebelum ini, juruselam dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1, Pulau Pinang, Koperal Merzuki Shahrim, 43, dalam keterangannya, menyatakan ada menjumpai dua unit telefon bimbit jenis BlackBerry masing-masing berwarna hitam dan putih.

Menurut Merzuki, kedua-dua unit telefon pintar itu ditemui pada kedalaman antara 0.6 meter dan 0.9 meter sewaktu pencarian barang-barang kes di longkang besar berhampiran pintu kunci air Pasar Besar Banting pada September tahun lalu.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; Ahmad Kamil, 32; dan Noorhisham, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-53 di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment