Search This Blog

Sunday, November 27, 2011

Rugi RM65,000 terpedaya

MIRI: Gara-gara terpengaruh dakwaan kononnya dia pembawa sial dalam keluarga, seorang wanita warga emas kerugian RM65,000 selepas wang tunai dan barang kemasnya lesap akibat ‘termakan’ tipu helah tiga wanita warga China, semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi di sebuah stesen minyak, di sini, mangsa berusia 59 tahun dari Taman Wah Shin, dekat sini, disapa seorang daripada suspek yang berpura-pura bertanya mengenai seorang tabib yang kononya menetap di kawasan itu.


Bagaimanapun, mangsa memberitahu dia tidak mengenalinya sebelum seorang lagi suspek tiba-tiba muncul dan berkata, dia kenal tabib dimaksudkan.

Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki sesuatu kemudian menawarkan diri untuk mengikut kedua-dua suspek terbabit berjumpa tabib dimaksudkan.


Katanya, sebaik tiba di belakang sebuah kedai perabot di kawasan berkenaan, seorang lagi suspek muncul dan memperkenalkan diri sebagai tabib sebelum memberitahu mangsa, wajahnya menggambarkan dia pembawa sial dalam keluarganya.


“Terpengaruh dengan penipuan itu, mangsa kemudian meminta ‘tabib’ berkenaan mengubatinya.

“Tabib itu kemudian memberitahunya, sebagai langkah pertama, mangsa perlu menyerahkan wang tunai serta barang kemas bagi membolehkan upacara membuang sial dijalankan.


“Sebelum itu, mangsa pulang ke rumah untuk mengambil semua barang kemas disimpannya, termasuk tiga utas gelang, anting-anting dan rantai, 15 bentuk cincin serta wang tunai RM15,000 sebelum diserahkan kepada suspek.

“Sebaik menyerahkan 15 cincin, tiga gelang, anting-anting dan rantai serta wang RM15,000, mangsa diberi sebotol air yang dijampi bagi membasuh mukanya, selain satu beg plastik hitam dikatakan air penawar serta ubat bagi proses membuang sial di rumah,” katanya.


Menurutnya lagi, pada masa sama, mangsa diarahkan beredar selain diberi amaran supaya tidak menoleh ke belakang ketika berjalan.


“Kira-kira 10 minit selepas itu, mangsa yang keletihan berhenti lalu menoleh ke belakang dan mendapati tiga suspek itu tidak kelihatan.” Menyedari dirinya tertipu, mangsa membuat laporan di Balai Balai Polis Pusat Miri pada hari kejadian.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan ketiga-tiga suspek.

myMetroRugi RM65,000 terpedaya:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment