Rosak akibat dipukul ombak

KOTA BHARU - Sebuah rumah penduduk di Pantai Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa di sini musnah dihem­pas ombak, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku pa­da jam 3 pagi itu menyebabkan rumah terbabit runtuh di sam­ping atap dan dinding rumah tercabut akibat bencana itu.

Penghuninya, Saodah Ibrahim, 67, berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana tinggal di rumah anak saudaranya yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan pantai.

“Mujurlah ketika kejadian tiada orang di rumah, lagipun makcik sudah menjangka ke­adaan rumah makcik yang ter­letak berhampiran laut amat berisiko jadi makcik ambil langkah selamat dan menumpang di rumahnya.

“Walaupun segala ba­rangan dalam rumah me­ngalami kerosakan yang teruk tetapi makcik bersyukur tiada kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Saaodah berkata, sehingga hari ini, dia masih menumpang di rumah berkenaan semen­tara menunggu untuk pindah ke kawasan baru.

“Sebelum ini Kerajaan Ne­geri berjanji memberi pam­pasan kepada lebih 15 pen­duduk di sini bagi mengambil alih kawasan ini untuk tujuan pembangunan.

“Setelah masalah ini di­paparkan di media ia akhirnya mendapat perhatian dan mak­cik amat bersyukur akan mendapat pampasan terbabit dan akan berpindah ke penempatan baru,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian memaparkan mengenai kisah penduduk terbabit yang ter­paksa menuntut janji pihak berkenaan ekoran hanya se­gelintir yang menerimanya sedangkan mereka berjanji memberi pampasan terbabit kepada 15 penduduk di situ.

Kawasan berkenaan be­risiko ditelan ombak ekoran keadaan pantai terbabit yang tidak mempunyai benteng dan kejadian terbabit sudah menenggelamkan lebih lima buah rumah di kawasan terbabit sejak 14 tahun lalu.