Search This Blog

Thursday, November 10, 2011

Rintihan isteri nahas kereta


IPOH: “Saya mahu menatap wajah abang buat kali terakhir,” begitu kata pengurus bank, Mukrimah Hamzah, 37, sambil berlinangan air mata sejurus mengetahui suaminya, Aidi Kharsana Ahmat, 38, terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 315.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah, kelmarin.
Permintaan wanita itu menyebabkan suasana di Wad 4B, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bertukar hiba kerana hajat itu tidak dapat ditunaikan ahli keluarganya berikutan keadaan dirinya yang cedera parah.

Dalam kejadian jam 10.20 malam, kereta Perodua Alza dipandu Aidi bersama Mukrimah dan lima anak mereka melanggar belakang sebuah lori menyebabkan ia melintang di laluan paling kanan lebuh raya sebelum kenderaan mereka dirempuh pula sebuah kereta yang gagal mengelak.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan dan kepala manakala Mukrimah serta seorang anak, Mohd Mukhriz Shah, 3, cedera parah. Bagaimanapun empat lagi anak mangsa hanya cedera ringan dan sudah dibenarkan keluar hospital.

Mukrimah patah kaki kiri selain kulit kepalanya terkoyak serta luka di beberapa bahagian badan manakala Mohd Mukhriz patah kaki kanan dan menerima rawatan di HRPB.

“Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku dan sebaik tersedar antara jam 3 hingga 4 pagi tadi (semalam), saya mendapati sudah berada di wad hospital.

“Saya diberitahu suami dirawat di Hospital Tapah manakala lima anak dirawat di sini. Namun, saya hanya tahu suami sudah meninggal dunia tengah hari semalam,” katanya.

Mukrimah yang ditemui wartawan Harian Metro di HRPB jam 2.15 petang semalam berkata, keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sungai Petani, Kedah selepas menyambut Aidiladha di rumah saudara-mara suaminya di Melaka dan Johor.

Katanya, mereka bertolak dari Pontian, Johor jam 11 pagi melalui jalan lama dan singgah di Nilai, Negeri Sembilan untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.

“Kami sepatutnya pulang ke Kedah kelmarin (Isnin lalu), tetapi abang demam dan batuk. Selepas berbincang, kami memutuskan pulang pagi semalam (kelmarin) bagi membolehkan abang berehat secukupnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment