KLANG: Polis menembak dan menahan seorang lelaki dipercayai penjenayah yang merempuh anggota polis ketika diarahkan untuk menyerah diri di Jalan Kepayang, di sini, pada jam 7.30 pagi tadi.

Kira-kira tujuh jam sebelum itu, suspek berusia 23 tahun itu dipercayai menyamun kedai telefon di Bukit Raja, di sini dan melarikan wang tunai

RM4,000 serta kad pra bayar bernilai RM680. Suspek yang menggunakan sebuah kereta curi jenis Toyota Vios juga dipercayai

baru menyamun di Sungai Buloh beberapa jam sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitendan Mohamad Shukor Sulong, berkata suspek yang kebetulan bertembung dengan kereta peronda polis di Jalan Kepayang, di sini enggan memberhentikan kereta yang dipandunya dan bertindak mengundurkan kenderaannya ke arah polis serta merempuh tiga lagi kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran.

Katanya, berikutan tindakan suspek itu polis melepaskan beberapa das tembakan dan terkena satu daripada tayar kereta yang dipandunya menyebabkan ia terbabas serta melanggar palang tempat letak kereta berhampiran sehingga menyebabkan kereta terbabit terbalik.

Katanya, tembakan itu turut terkena pada paha kiri suspek yang berasal dari Sungai Way, Petaling Jaya.

Mohamad Shukor berkata, hasil siasatan dalam kereta yang dipandu mangsa, polis menemui dua batang kayu besbol, sebilah parang dan beberapa peralatan menagih dadah.

"Kereta dipandu suspek dilaporkan dikejar polis di Petaling Jaya kerana disyaki terbabit dalam kegiatan samun di Sungai Buloh sebelum itu manakala kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai dicuri di Puchong baru-baru ini," katanya.

Katanya, suspek kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan polis masih menjalankan gerakan memburu beberapa lagi individu dipercayai rakan suspek yang terbabit dalam kegiatan jenayah itu. - Bernama