aLONG

JOHOR BAHRU – Gara-gara meminjam hanya RM500, seorang pengawal keselamatan hidup dalam ketakutan setelah diancam sekumpulan ah long yang menggesanya membayar bunga pinjaman sehingga mencecah RM9,000.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Jamal, 42, berkata, dia terjerumus dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen itu kerana kesempitan wang bagi membaiki kerosakan motosikalnya berjumlah RM400.

“Saya cuba pinjam dari rakan-rakan tetapi mereka pun susah seperti saya. Keadaan ketika itu amat terdesak jadi saya terpaksa menghubungi ah long dari nombor pada tiang lampu berhampiran rumah.

“Saya membuat pinjaman pokok sebanyak RM500 dan dikenakan bayaran bunga sebanyak RM300 oleh ah long berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Jamal berkata, nasib tidak menyebelahinya apabila motosikal digunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja rosak sekali lagi menyebabkan dia terpaksa meminjam RM800 dari ah long berlainan untuk membayar pinjaman kepada ah long pertama.

“Selepas meminjam kepada ah long kedua saya terpaksa membuat pinjaman kepada ah long berlainan pula untuk menjelaskan bayaran kepada ah long kedua sebanyak RM1,200 termasuk bayaran bunga.

“Begitulah seterusnya sehingga saya terpaksa meminjam daripada lima ah long dan menjadi semakin terhimpit dengan pinjaman terkumpul yang berjumlah RM9,000 termasuk bayaran bunga,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dia sering diganggu dan diancam oleh kumpulan ah long berkenaan yang kerap menghubungi talian telefon bimbitnya sekurang-kurangnya 20 kali sehari.

Katanya, berikutan bimbang mengenai keselamatan isteri dan tiga anaknya yang masih kecil, dia membuat laporan polis pada 24 November lalu berhubung ancaman yang diterimanya.

Sementara itu, Ketua MCA Cawangan Bandar Baru Tampoi, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya akan membantu menyelesaikan masalah dihadapi dan berunding dengan ah long berkenaan bagi mengurangkan kadar bunga yang perlu dibayar.

“Saya telah berhubung dengan ah long terlibat dan meminta mereka mengurangkan kadar pinjaman kepada RM6,000.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan menjadi pengajaran kepada masyarakat lain agar tidak terjebak dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen,” katanya.