Search This Blog

Wednesday, November 30, 2011

Perompak kedai emas hampa


SEREMBAN 29 Nov. – Sekumpulan penyamun terpaksa pulang dengan tangan kosong setelah gagal memecah masuk sebuah kedai emas dengan menebuk dinding premis bersebelahannya di Pekan Lama Nilai dekat sini malam semalam.

Ini berikutan sistem penggera di kedai emas itu tiba-tiba berbunyi.

Kumpulan penjenayah tersebut sebelum itu memecah masuk sebuah kedai menjual alat telekomunikasi bersebelahan kedai emas itu.

Difahamkan, penjenayah dipercayai lebih daripada seorang bertindak menebuk dinding kedai telekomunikasi berkenaan sebelum cuba memecah masuk kedai emas tersebut.

Bagaimanapun, ketika mereka cuba menebuk satu lagi lapisan dinding menghubungkan kedai emas itu, sistem penggera premis tersebut tiba-tiba berbunyi menyebabkan mereka melarikan diri dan meninggalkan beberapa peralatan yang digunakan untuk masuk ke kedai itu.

Pemilik kedai emas yang enggan dikenali berkata, dia menyedari sistem penggera kedainya berbunyi kira-kira pukul 2 pagi namun apabila memeriksa kamera litar tertutup yang disambungkan ke rumahnya dia mendapati tiada apa yang mencurigakan.

Menurutnya, apabila dia mahu membuka perniagaan kira-kira pukul 10 pagi, pemilik kedai telekomunikasi memberitahunya ada orang cuba menebuk dinding untuk memasuki premisnya.

“Saya terkejut kerana mendapati satu lubang ditebuk untuk masuk ke kedai saya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sistem penggera yang berbunyi menakutkan penjenayah terbabit,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang ketika dihubungi di sini semalam mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, polis sedang menyiasat kejadian tersebut dan kaitannya dengan mana-mana kumpulan penjenayah,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Selatan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment