keluarga disamun

GURUN - “Saya ingat adik datang ke bilik mahu tidur bersama saya,” kata seorang gadis, Rohayati Romli, 26, menceritakan detik cemas berdepan penyamun bersenjatakan parang dalam kejadian yang berlaku, kira-kira jam 3 pagi.

Rohayati berkata, sebelum kejadian dia dan adiknya, Rahmah Hidayah, 13, menonton televisyen hingga jam 1 pagi sebelum masuk tidur di tempat berasingan.

Menurutnya, Rahmah berniat untuk tidur bersamanya, namun me­ngubah fikiran dan tidur bersama seorang lagi adiknya di dapur.

“Saya terjaga apabila terdengar bunyi seperti ada orang di sebalik pintu bilik dan terlihat ada cahaya seakan-akan cahaya telefon bimbit menyuluh dari luar bilik.

“Saya ingatkan adik, jadi saya menyuruhnya kembali tidur bersama seorang lagi adik di dapur. Selepas itu saya terkejut kerana pintu bilik dihentak dan dua lelaki bersenjatakan parang meluru masuk ke bilik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuang, Jalan Padang Lembu, dekat sini, semalam.

Rohayati berkata, dua penyamun itu kemudiannya memegang kedua belah bahunya sambil meletakkan parang di leher dan menyuruhnya menyerahkan barang berharga kepada mereka.

Dia yang bakal melangsungkan perkahwinan 17 Disember ini, berkata, cincin pertunangannya dirampas dan dia juga diarahkan mengejutkan kedua ibu bapanya di bilik utama.

“Saya memanggil ibu dari luar bilik. Ibu menjawab panggilan saya, namun belum sempat ibu keluar dari bilik, penyamun itu menendang pintu bilik.

“Saya, ibu dan bapa kemudiannya diikat menggunakan seluar yang dikoyak menjadi tali. Kemudian mereka mengumpulkan tiga adik saya di bilik itu dan turut me­ngikat mereka. Adik bongsu yang berumur 11 tahun dibiarkan tidur di dapur,” katanya.

Rohayati berkata, seorang lagi penyamun datang mengawasi mereka, manakala dua penyamun lagi menggeledah seluruh rumah mencari barangan berharga dengan membawa Rahmah untuk menunjukkan tempat barangan berharga disimpan.

Menurutnya, dia turut nampak ada dua lagi penyamun berparang tunggu di luar rumah memantau keadaan semasa dibawa penyamun ke bilik ibu dan bapanya.

“Saya rasa seramai lima suspek bersenjatakan parang dan seorang daripadanya mengasah parang di hadapan kami. Saya fikir mungkin kami sekeluarga akan dibunuh. Namun, kami bersyukur kerana tidak di apa-apakan setelah hampir 45 minit penyamun itu menggeledah rumah,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Romli Hussin, 59, berkata, barang yang didapati hilang ialah lima telefon bimbit, dua komputer riba, tunai RM200 dan dokumen penting milik mereka sekeluarga.

Menurutnya, selain rumah mereka, penyamun terbabit turut menyamun rumah jiran mereka sekitar jam 2 pagi dan laporan kejadian itu dibuat di Balai Polis Gurun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan laporan dan kes masih disiasat.