Search This Blog

Tuesday, November 29, 2011

Penjenayah larikan anak ditinggal dalam kereta


KUALA LUMPUR 28 Nov. - Tindakan seorang lelaki meninggalkan anaknya dalam kereta yang tidak dimatikan enjin membawa padah apabila kenderaannya itu dilarikan seorang lelaki.

Kejadian mencemaskan itu berlaku di Taman Perindustrian Kepong pukul 9.30 pagi ini ketika mangsa yang berusia 37 tahun singgah di sebuah kedai untuk membeli barang.

Dia yang membawa seorang anak lelaki berusia 5 tahun meninggalkan kereta jenis BMW dipandunya itu di hadapan deretan rumah kedai di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, ketika kembali ke kereta, mangsa terkejut setelah ternampak seorang lelaki berada di dalam keretanya. Sebaik sahaja ternampak mangsa, lelaki itu segera memecut kereta berkenaan membawa bersama anak lelaki mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, cemas dengan kejadian itu, mangsa meminta bantuan orang ramai dan meminjam sebuah motosikal penduduk untuk mengesan kenderaannya.

Bagaimanapun, katanya, setelah hampir sejam mencari, mangsa gagal menemui keretanya dan membuat laporan di Balai Polis Kepong.

Berikutan itu, gerakan mencari dilakukan dengan bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

"Kanak-kanak itu kemudian ditemui dan menurut saksi sebuah kereta jenis Nissan berwarna perak dilihat menurunkan kanak-kanak itu di sebuah kawasan perumahan Bandar Baru Sri Damansara kira-kira pukul 11.30 pagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Tambah Rosly, usaha mencari dan memburu suspek diteruskan pihaknya sehingga berjaya menangkap empat individu termasuk seorang wanita yang dipercayai suspek yang bertanggungjawab meninggalkan kanak-kanak itu.

Katanya, kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 34 tahun ditahan di sebuah hotel di Sungai Buloh berdasarkan pengecaman kenderaan yang digunakan mereka ketika meninggalkan anak mangsa.

Ketika ini, kata Rosly, polis masih mengesan kereta BMW milik mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak meninggalkan ahli keluarga dan kenderaan dalam keadaan enjin dihidupkan kerana ia memberi peluang berlakunya jenayah.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment