Bunuh

ALOR GAJAH - Seorang warga emas maut dalam keadaan tertiarap di pintu masuk kedai runcit miliknya selepas dipercayai dirompak dan ditikam di anggota badan, di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa, Tey Ah Keh, 64, ditemui oleh seorang kanak-kanak yang datang ke kedainya untuk membeli barang sebelum dimaklumkan seorang lelaki bahawa kedai tutup.

Saksi kejadian, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun berkata, dia diminta oleh neneknya untuk kedai membeli santan kelapa sebelum ditegur seorang lelaki berkulit gelap dan kurus menyatakan kedai tutup dan terdapat sebatang besi berukuran satu meter di tangannya.

“Kemudian dia terus memecut motosikal jenis Honda EX-5 berwarna hitam dalam keadaan tergesa-gesa.

“Kemudian saya jengah kedai dari atas jalan dan mendapati pemilik kedai sudah tertiarap tidak sedarkan diri dan bertembung pula dengan seorang ibu saudara yang kebetulan juga hendak ke kedai mangsa,” katanya.

Ibu saudaranya, Maisara, 42 tahun, berkata, dia menahan seorang lelaki yang melalui jalan berkenaan untuk melihat keadaan mangsa yang disangka pengsan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, mangsa berseorangan di kedainya sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

“Dipercayai berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang turut membawa lari wang hasil perniagaan, bagaimanapun jumlahnya tidak dapat dipastikan lagi.

“Terdapat tiga kesan tikaman pada rusuk kanan, satu di perut, satu di dada dan dua tikaman lagi di pangkal paha,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, selang 30 minit, sebuah kedai telefon bimbit di Taman Kasawari, Gangsa turut dirompak, dipercayai oleh suspek sama.

Pemilik kedai, Alvin Chan Boon Chuan, 32, cedera parah ditikam suspek sebanyak dua kali di rusuk kiri dan kanan, dipercayai menggunakan senjata tajam dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang.

Difahamkan, lokasinya hanya kira-kira lima kilometer dari kejadian pertama.

Suspek meletakkan motosikalnya di tempat letak kereta berhadapan dengan sebuah kedai dobi sebelum memasuki kedai telefon bimbit.

Umar Ali berkata, pihaknya percaya kejadian kedua itu dilakukan suspek sama berdasarkan maklumat motosikal dan baju yang dipakai sama seperti kejadian pertama.

“Namun dalam kejadian kedua, mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Pantai untuk rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kejadian itu hanya disedari apabila mangsa menjerit keluar dari kedainya dalam keadaan berlumuran darah selepas ditikam, sementara suspek melarikan diri dengan motosikalnya.

“Ibu mangsa, Lee Yon Pa, 72, dan seorang anak saudara, Yap Jing, 3, tidak diapa-apakan kerana mereka tidur di bahagian belakang kedai tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.