Pengawal dilumur semut

SUNGAI BULOH – Dua pengawal keselamatan SJK (T) Kuang melalui pengalaman yang menyiksakan selama dua jam apabila mereka bukan sahaja diikat malah badannya turut dilumur dengan semut hitam.

Dalam kejadian jam 2 pagi semalam, kedua pengawal berusia 50 tahun itu sedang meronda kawasan sekolah sebelum dia didatangi oleh sekumpulan lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Menurut pengawal yang hanya mahu dikenali sebagai Devadasan berkata salah seorang daripada penyamun meletakkan parang pada lehernya dan mengugutnya tidak berbuat apa-apa dan menuruti arahan.

“Kami diikat menggunakan tali lampu suluh dan kain sebelum salah seorangnya mengarahkan kami membuka baju dan kemudiannya menuangkan ribuan semut hitam yang disimpan dalam bekas filem,” katanya.

Menurutnya dia hanya mampu menahan kesakitan digigit semut sesebelum berjaya melepaskan diri dua jam kemudian selepas ikatan pada tangannya berjaya dibuka dan bertindak menghubungi salah seorang guru sekolah berkenaan untuk meminta bantuan.

“Penyamun itu telah memecah masuk bilik ICT, bilik guru besar dan bilik Guru Penolong Kanan dan melarikan pelbagai peralatan termasuk lima buah komputer riba, empat projektor dan peralatan lain yang sebahagiannya dikunci di dalam sebuah peti besi,” katanya.

Menurutnya suspek dipercayai menggunakan peralatan khas untuk membuka peti besi yang turut mempunyai wang tunai RM 400 dan kerugian sehingga kini mencecah RM 50,000.

Difahamkan ini merupakan kejadian kedua sekolah berkenaan dipecah masuk tahun ini dipercayai dilakukan oleh kumpulan yang sama.

Tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Kuang berhubung kejadian tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes itu kini sedang disiasat.