Pemandu lori lemas ketika menjaring ikan

KOTA TINGGI – Keseronokan seorang pemandu lori bersama tiga lagi rakannya ketika menjaring ikan di Sungai Inas di sini Jumaat lalu bertukar tragedi selepas dia tergelincir lalu lemas.

Mayat Mohamad Mail, 47, ditemui terapung oleh anggota Bomba dan Penyelamat tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 6.26 petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Tinggi, Mohd Ismail Abdul Latif berkata, mangsa dipercayai cuba menyeberang untuk menjala ikan sebelum tergelincir ke dalam sungai tersebut.

“Mangsa sebelum itu difahamkan menunggu di tebing bersama seorang anak rakannya sementara menanti dua rakannya memasang jaring di dalam sungai berkenaan.

“Seramai 28 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11 malam,” katanya.

Menurutnya, turut membantu operasi mencari tersebut ialah 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dua anggota Ikatan Relawan Malaysia (Rela) dan lima anggota Polis Diraja Malaysia, Bandar Tenggara.

Jenazah mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Kluang di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tenggara.

Sementara itu, isteri mangsa, Siti Muntamah Bero, 46, berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian kehilangan suaminya kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, dia tidak menyangka kelewatan suaminya yang pulang dari kerja pada petang kelmarin rupanya menandakan suaminya itu akan pergi buat selama-lamanya.

“Biasanya jam lima petang dia sudah balik ke rumah tetapi kelmarin sehingga jam sepuluh malam dia masih belum pulang lagi. Malah telah banyak kali saya buat panggilan telefon namun tidak berjawab,” katanya.

Menurutnya, arwah suaminya juga tidak ada menunjukkan tanda-tanda bahawa dia akan pergi meninggalkannya dan juga lima anaknya yang lain.

“Tiada perubahan ketara berlaku pada suami namun arwah pernah menyatakan hasrat hendak berehat daripada menjadi pemandu lori minyak sawit buat sementara waktu,” katanya.