Search This Blog

Wednesday, November 30, 2011

Pakar bedah didakwa lagi palsukan pendaftaran bayi


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Seorang pakar bedah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membuat butiran palsu berhubung pendaftaran seorang bayi perempuan berusia lapan hari di sebuah hospital swasta, tahun lalu.

Datuk Dr. Mohammad Feizal Abdullah, 72, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Parvin Hameedah Nacthiar.

Tertuduh didakwa membuat butiran palsu terhadap pendaftaran bayi tersebut di Hospital Taj, Jalan Ipoh, Sentul di sini antara 24 Oktober dan 1 November 2010.

Dakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 36(a) Akta Pendaftaran dan Kelahiran 1957 yang membawa hukuman penjara sehingga 12 bulan atau denda maksimum RM2,000.

Parvin Hameedah mengenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sebagaimana jumlah yang dicadangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Amalina Ismail.

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen bersama kes yang dihadapi oleh seorang bekas pembantu jururawat, Gulab Jan Abdul Jabir, yang dibicarakan atas tuduhan memperdagangkan bayi berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah tidak menetapkan sebarang tarikh sebutan.

Dua minggu lalu, Mohammad Feizal mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin atas tuduhan membuat butiran palsu terhadap pendaftaran bayi perempuan berusia dua bulan.

Pada tarikh yang sama, Gulab Jan, 49, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 atas tuduhan memperdagangkan bayi itu di sebuah pangsapuri yang terletak di Sentul pada pukul 8.15 malam, 14 November 2010.

Pada 16 Jun lalu, wanita terbabit turut membuat pengakuan yang sama atas tuduhan serupa dengan melibatkan seorang lagi mangsa berumur lapan hari.

Jika sabit kesalahan, bekas pembantu jururawat itu yang diwakili peguam bela Gerald Lazarus boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment