farid

KOTA BHARU - Mangsa lemas di Kuala Pak Amat, Kampung Panjang di Pengkalan Chepa, kelmarin ditemui dalam keadaan meniarap berhampiran kawasan persisiran pantai dengan timbunan sampah oleh anggota penyelamat kira-kira jam 8.05 malam.

Mohamad Farid Mohd Yusof, 20, dijumpai hanya berseluar pendek tanpa memakai baju.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Pegawai Bomba Tinggi, Pengkalan Chepa Saipu Bahri Mohd Nor berkata, usaha mencari mangsa mulanya dihentikan pada jam 7 malam setelah gagal ditemui.

“Namun selepas menunaikan solat maghrib dan isyak, anggota penyelamat yang masih berada di situ, menemui mayat mangsa terdampar berhampiran kawasan tempat dia dihanyutkan petang kelmarin kira-kira 200 meter dari dasar pantai.

“Operasi yang disertai 30 anggota penyelamat bersama polis, bomba sukarela, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) itu terpaksa menempuh keadaan yang agak sukar berikutan ombak yang deras di samping angin yang kencang namun usaha terbabit berjaya menemui mangsa di kawasan terbabit,”katanya.

Mayat mangsa di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II ) untuk dibedah siasat dan dituntut keluarganya.

“Difahamkan mayat mangsa di bawa ke kediamannya di Cabang Tiga Pengkalan Chepa dan diuruskan untuk pengebumian pada malam terbabit.