Search This Blog

Tuesday, November 29, 2011

Lumba haram sambut 1433H



Anggota polis mengawal sebahagian mat rempit yang ditahan semasa operasi oleh polis Bukit Aman di Kelebang, Ipoh, kelmarin. - utusan/Mohd. Najib Mohd. Nor


IPOH 28 Nov. - Ketika umat Islam menyambut Maal Hijrah 1433 Sabtu lalu, ratusan anak muda bermotosikal menjadikan jalan raya di kawasan Kelebang di sini sebagai medan untuk berlumba haram dengan masing-masing mempamerkan pelbagai aksi ngeri.

Bagi mencegah gejala tidak sihat ini yang dikesan sejak beberapa bulan lalu daripada berterusan, Unit Khas Pasukan Trafik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengadakan Ops Rempit di kawasan tersebut.

Hasilnya, sebanyak 150 penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang dalam operasi yang julung kali diadakan di sini awal pagi semalam.

Ops Rempit itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Operasinya, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, operasi yang bermula pukul 12 tengah malam hingga pukul 5 pagi itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, kawasan Kelebang dijadikan 'litar lumba haram' yang terakhir selepas kumpulan samseng jalanan itu melalui kawasan Sungai Siput dan pusat bandar Ipoh.

Katanya, suasana di kawasan itu mulanya sunyi, hanya kelihatan beberapa motosikal yang lalu lalang bagi memastikan keadaan betul-betul selamat sebelum kumpulan samseng jalanan itu mula beraksi lumba haram kira-kira pukul 3.45 pagi.

"Seramai 12 lelaki bawah umur 18 tahun antara 120 penunggang yang ditahan. Kesemua mereka berusia antara 14 hingga 20 tahun.

"Sebahagian daripada mereka menggunakan motosikal Honda EX5 dan diubah suai untuk lumba haram. Pihak polis turut merampas sejumlah objek tajam seperti paku yang ditabur di atas jalan raya sebagai persediaan ketika dikejar pihak berkuasa.

"Sebahagian daripada mereka melarikan diri serta meninggalkan motosikal masing-masing ketika serbuan dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini awal pagi semalam.

Khuzir memberitahu, sebanyak 77 buah motosikal disita selain 67 saman trafik dikeluarkan dan 27 saman JPJ.

Tujuh daripada penunggang yang ditahan disahkan positif mengambil dadah, manakala seorang penunggang cuba melarikan diri dengan merempuh sebuah kereta peronda telah ditahan mengikut Seksyen 43 Akta JPJ.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment