dituduh

KOTA TINGGI - Mahkamah Majistret Kota Tinggi, di sini, se­­­­­­­­malam, menetapkan tarikh sebutan semu­la bagi kes pembunuhan seorang remaja berumur 15 tahun, Nurul Atikah Samsiah, pada 14 Disember ini.

Majistret Mohd Fadlee Mamat menetapkan ta­­rikh itu selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurshafini Mustafha, memandangkan laporan kimia mangsa masih belum siap.

Tertuduh, Mohamad Suhaimi Abd Aziz, 41, didakwa atas dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan per­­­­­­­­­­­­­tama, tertuduh didakwa melakukan satu pembunuhan yang menyebabkan kematian mangsa pada jam 7 pagi, 26 Oktober lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh dituduh merogol mangsa, lebih kurang jam 2 petang, 25 Oktober lalu.

Tertuduh hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sepanjang prosiding mahkamah dijalankan bermula kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan pertama dan Seksyen 316 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan kedua.

Pada 27 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan berhubung penemuan mayat seorang gadis pada 26 Oktober lalu selang tiga rumah dari kediaman ibu bapanya di rumah pekerja Ladang Kambau, di sini.

Mangsa yang telah berhenti sekolah selepas tamat sekolah rendah dilaporkan hilang pada jam 2 petang, 25 Oktober lalu, sehari sebelum mayatnya ditemui.