Search This Blog

Monday, November 21, 2011

Kematian Pekerja Syarikat Besi Buruk Akibat Letupan Bom Lama


IPOH: Kematian seorang pekerja sebuah syarikat besi buruk di pekan Pantai Remis, kira-kira 120km dari sini pada Ahad adalah berpunca daripada letupan sebutir bom lama di premis berkenaan, menurut polis.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan berkata hasil siasatan forensik dan unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, mendapati ada sebutir bom lama yang berada di dalam timbunan besi buruk di premis itu.

Beliau berkata pemilik premis mungkin tidak mengetahui mengenai kewujudan bom lama itu kerana ia disangka besi buruk kerana disaluti tanah dan lumpur keras.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut, katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbarisan Tamat latihan Asas Rekrut Sukarelawan Simpanan Polis Siri 1/2010 di sini pada Isnin.

Dalam kejadian pada pukul 1.38 tengah hari semalam, Abdul Razak Mohd Nor, 32, dari Pantai Indah meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dalam letupan yang berlaku ketika dia sedang mengetuk beberapa ketulan besi di premis itu.

Mayat pekerja itu yang kedua-dua kakinya berkecai dalam letupan itu dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.

Sementara itu, Shukri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak mensasarkan pengambilan 315 sukarelawan simpanan polis menjelang tahun 2012, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 625 orang.

Beliau berharap lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai pasukan sukarelawan itu bagi membantu polis menangani kes-kes jenayah terutama di kawasan perumahan mereka.

Mereka yang berumur 18 hingga 35 tahun yang berminat boleh mendaftar di mana-mana balai polis, katanya. - BERNAMA

mStar Online : Kematian Pekerja Syarikat Besi Buruk Akibat Letupan Bom Lama:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment