jambatan jatuh

KEDAIK ASAL - Penduduk di tiga kampung, di sini, menggesa pihak berwajib meninggikan Jambatan Sungai Gayong di Kampung Kedaik Asal kerana sering dinaiki air sungai berikutan permukaan lantai jambatan yang rendah.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Kedaik Asal, Amran Boji berkata, kira-kira 300 penduduk di Kampung Kedaik Asal, Kampung Guri dan Kampung Rantau Panjang sering terputus hubungan akibat masalah berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan jalan ladang kelapa sawit milik swasta untuk keluar dari kampung walaupun laluan terbabit bahaya dan tidak boleh dilalui kenderaan berat.

“Kami minta supaya pihak berwajib dapat meninggikan jambatan ini bagi mengelakkan air Sungai Gayong melimpah ke jalan seterusnya menyebabkan urusan seharian kami terganggu,” katanya kepada Sinar Harian.

Amran berkata, pihak berwajib juga diminta menggantikan sistem pembetungan sedia ada bagi memudahkan air Sungai Gayong mengalir terus ke Sungai Rompin.

“Sistem pembetungan yang ada kecil. Ia bukan saja tidak dapat menampung jumlah air sungai, malah menyebabkan pengaliran air tidak lancar dan tersekat,” katanya.

Menurutnya, situasi menjadi lebih buruk setiap kali musim tengkujuh apabila paras air Sungai Gayong meningkat hingga menyebabkan penduduk di kampung terlibat terputus hubungan.

“Setiap kali musim tengkujuh, penduduk di sini perlu bersedia berdepan dengan keadaan ini memandangkan air Sungai Gayong akan melimpah dengan deras menutupi jambatan ini,” katanya.

Selain itu katanya, penduduk turut meluahkan rasa kesal dengan sikap individu tidak bertanggungjawab yang sanggup mencuri besi lantai jambatan itu untuk dijual.

“Kami kecewa kerana besi lantai jambatan ini juga dikebas pencuri dan perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu disifatkan tidak berakal kerana merosakkan harta benda awam,” katanya.