jalan runtuh

BUKIT MERBAU - Seramai 200 penduduk di Kampung Baru Pupuh dan Bukit Akar di sini, hampir terkandas apabila jalan masuk utama ke kampung berkenaan runtuh akibat air deras dan mendapan.

Wakil penduduk, Halim Sulaiman, 45, berkata, kejadian itu sudah hampir seminggu berlaku dan ia memberikan masalah kepada penduduk setempat.

“Ini kerana laluan itu adalah laluan utama dan jika ia tidak dibaiki segera mungkin kami akan terkandas di kampung sendiri.

“Selain itu, ia juga membahayakan keselamatan penduduk terutama pada waktu malam kerana di kawasan jalan berkenaan tidak mempunyai lampu jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sudah beberapa kejadian berlaku melibatkan kenderaan seperti kereta dan lori yang hampir terjatuh kerana tidak ternampak lubang besar itu.

Halim berkata, penduduk setempat berharap pihak berkenaan dapat segera membaiki jalan itu kerana ia begitu penting kepada mereka.

Dia berkata, jika hujan lebat dan berpanjangan tidak mustahil keseluruhan jalan akan runtuh dan ini akan memberikan masalah besar kepada penduduk yang ingin keluar bekerja.

“Walaupun terdapat laluan alternatif lain tetapi ia jauh dan sukar untuk dilalui terutama kepada kenderaan­ besar,” katanya.