Search This Blog

Wednesday, November 30, 2011

Hakim tegur saksi saman fitnah Syabas


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Kewibawaan seorang saksi utama memberikan keterangan dalam kes saman fitnah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini dipersoalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah yang mendengar keterangan seorang eksekutif di Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Syabas antaranya menegur tindakan syarikat itu yang sepatutnya mendapatkan khidmat jurubahasa Mandarin bertauliah untuk menterjemahkan kandungan artikel yang didakwa berunsur fitnah.

Teguran-teguran itu timbul ekoran pengamatan hakim tersebut sepanjang Ainunnajhan Marzuki, 26, selaku saksi utama syarikat pemegang konsesi bekalan air itu memberikan keterangan.

Terdahulu, Ainunnajhan yang mendakwa boleh bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Mandarin berkata, antara tugasannya setiap hari adalah membaca surat khabar.

Selain itu, beliau diminta menterjemahkan berita berkenaan Syabas dan intipati artikel daripada bahasa Cina ke bahasa Melayu untuk edaran dan makluman pihak pengurusan Syabas.

Namun, ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Tony, Ainunnajhan berkata, beliau tidak menterjemahkan setiap patah perkataan dalam artikel tersebut.

Sebaliknya, menurut saksi itu, beliau hanya meringkaskan artikel itu berdasarkan intipatinya.

Jawapan saksi itu membuatkan Hakim Amelia berkali-kali mencelah bahawa mahkamah tidak berminat dengan ringkasan berdasarkan persepsi tetapi mahukan terjemahan sebenar.

Syabas memfailkan saman terhadap Tony pada 28 Januari lalu kerana mendakwa Setiausaha Publisiti DAP tersebut telah mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah yang disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Cina.

Syarikat itu diwakili oleh peguam Gopal Sreevenasan.

Syabas selaku plaintif mendakwa, kenyataan tersebut disiarkan oleh akhbar Nanyang Siang Pau pada 16 November 2010 di bawah artikel bertajuk 'Tony Pua: Kerajaan Negeri Perlu Kawal Hak Pengurusan Air Bagi Memastikan Tarif Air Tidak Mengalami Kenaikan'.

Menurut Syabas, penerbitan tersebut telah memperkecil-kecilkan reputasi perniagaan dan menyebabkan cemuhan awam yang membawa kerugian serta kerosakan kepada perniagaan mereka.

Sehubungan itu, Syabas antaranya menuntut ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlahnya selain perintah injunksi bagi menghalang Tony dan ejennya daripada menerbitkan kenyataan berbentuk fitnah tersebut.

Tony dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, tuntutan tersebut tidak wajar serta tidak berasas selain remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan, 53, dalam keterangannya berkata, intipati artikel tersebut telah dibekalkan kepada beliau oleh Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som, 43.

Menurut Ruslan, beliau mengarahkan Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Ir. Lee Miang Koi, 55, untuk menjelaskan dan menterjemahkan artikel tersebut kepadanya.

Ruslan bagaimanapun tidak bersetuju apabila Gobind menganggap terjemahan tersebut tidak tepat.

Perbicaraan bersambung 12 Disember ini.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment