PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini semalam mengetepikan keputusan membebaskan empat lelaki Taiwan atas tuduhan mengedar dadah.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, mempengerusikan sidang tiga anggota panel hakim mengarahkan kes keempat-empat mereka itu dihadapkan balik ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk membela diri.
Hakim Md Raus, bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, memutuskan terdapat kes prima facie terhadap keempat-empat mereka bagi tuduhan berkenaan.

Panel hakim membenarkan rayuan pihak pendakwa untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 27 Disember tahun lalu yang membebaskan Chung Sheng Wen, 38, Chang Min Yen, 37, Chang Yun Sheng, 33, dan Wu Sheng Yuan, 33, tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan.

Pihak pendakwa membuat ra-yuan ke Mahkamah Persekutuan selepas ia gagal di peringkat mahkamah rayuan yang mengekal keputusan membebaskan keempat-empat lelaki berkenaan.

Dalam keputusannya, Md Raus berkata, mahkamah berpendapat Mahkamah Tinggi dan mahkamah rayuan tersilap kerana mendapati tiada pertalian antara responden, dadah, mesin dan bungkusan-bungkusan yang dijumpai di sebuah kilang.

Hakim itu menetapkan 2 Disember ini tarikh untuk sebutan kes mereka di Mahkamah Tinggi. Keempat-empat mereka dituduh mengedar Nimetazepam seberat 43.033 gram di sebuah kilang dekat Kawasan Industri Tebrau 2, Johor Bahru, kira-kira jam 5.30 pagi, 22 Mac 2009.

Mereka ditangkap sepasukan polis yang membuat serbuan di kilang itu yang menjumpai dan merampas sejumlah perkakas, peralatan, kimia dan mesin yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah. Dadah yang dalam bentuk pil juga dijumpai di kilang tersebut.

Dalam kes lain, bekas seorang Lans Koperal, Yusri Mat Daud terlepas tali gantung setelah Mahkamah Persekutuan yang sama membebaskannya daripada tuduhan mengedar 5,756 gram ganja. Panel hakim membenarkan rayuan Yusri untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan dan menjatuhi hukuman gantung ke atasnya atas tuduhan mengedar dadah berkenaan di Jalan Cheras pada jam 4.15 petang 9 Mei 2002.