ditipu

PUCHONG - Licik menyamar sebagai ejen rumah sewa, seorang lelaki pertengahan umur dipercayai sudah menipu hampir sembilan mangsa membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit hanya dalam tempoh sebulan.

Difahamkan, suspek akan menghubungi mangsa (pemilik yang ingin menyewakan premis kedai atau rumah) melalui iklan yang digantung di tepi bangunan atau yang disiarkan dalam akhbar.

Suspek akan memaklumkan bahawa ada orang berminat menyewa premis dimiliki pemilik berkenaan dan akan mengadakan pertemuan di tempat dipersetujui, kebiasaannya di pejabat mangsa bagi meningkatkan lagi keyakinan kepada mangsanya.

Ketua Biro Aduan Awam Puchong, Kuan Chee Heng berkata, beliau menerima sembilan aduan berkaitan kes sama daripada mangsa di Setapak, Cheras, Petaling Jaya, Pandan Mewah dan Bandar Baru Ampang yang mendakwa ditipu seorang lelaki.

Menurutnya, suspek menyamar dengan memperkenalkan dirinya sebagai broker daripada sebuah syarikat ejen perumahan di Cheras.

“Dia memperoleh nombor telefon mangsanya melalui iklan rumah atau pejabat untuk disewakan yang digantung dan terus menghubungi mereka menyatakan ada orang berminat mahu menyewa premis.

“Setelah bersetuju tempat berjumpa, suspek akan membawa sesalinan Mykad milik seorang wanita yang kononnya ingin menyewa premis dan sekeping cek tertera nilai deposit dan sewa yang ditetapkan untuk diserahkan kepada pemilik,” katanya.

Chee Heng berkata, suspek dikenali dengan nama Lam itu kemudian meminta komisen daripada pemilik kerana dikatakan ‘berjaya’ mendapatkan penyewa untuk mereka.

Jelasnya, untuk mengaburi pemilik, suspek akan meminta mangsa meletakkan tarikh pada cek lebih lewat daripada tarikh cek penyewa yang dibawanya sebelum itu.

“Tanpa mengetahui niat jahat suspek, mangsa biasanya bersetuju kerana memikirkan akan dapat menunaikan cek yang diberi Lam, sebelum suspek dapat menunaikan cek diberi mereka.

“Bagaimanapun, mangsa hanya akan menyedari tertipu apabila pihak bank memberitahu cek yang diberikan suspek adalah cek tendang dan akaun bank sudah lama ditutup,” katanya.

Semua mangsa yang cuba membatalkan cek komisen tidak berjaya setelah didapati, suspek sebenarnya bertindak menukar tarikh pada cek komisen berkenaan untuk ditunaikan segera.

Akibat kejadian itu, semua mangsa mengalami kerugian hampir RM60,000 kerana setiap pemilik memberikan komisen berbeza kepada suspek mengikut harga sewaan yang dipersetujui.

Sinar Harian dimaklumkan, semua mangsa berkenaan membuat laporan di balai polis berasingan.

Chee Heng berkata, sehingga sekarang, suspek dipercayai masih bergiat aktif menjalankan kerja penipuan itu, nombor telefon yang diberikan kepada mangsa masih boleh dihubungi.

“Saya meminta pemilik premis berhati-hati apabila didatangi individu yang mengaku diri mereka ejen perumahan­ dan sebagainya.

“Periksa dahulu sama ada mereka yang memperkenalkan diri adalah ejen rumah atau tidak jika tidak mahu menjadi mangsa,” katanya.