dua suspek dicari

KUANTAN - Dua lelaki warga Myanmar dikehendaki polis untuk membantu siasatan berhubung penemuan mayat rakan senegara di ladang kelapa sawit di Kampung Kasing Pianggu, Rompin pada 20 November lalu.

Lelaki terbabit, Khin Tan Maung, 41 dan adiknya, Khin Tin Maung, 35 (berkaca mata hitam) kini hilang selepas kejadian pembunuhan rakan senegaranya. Soe Myint, 28 di kampung terbabit.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan, Nor Asyikin Samsuri berkata, kedua-duanya dipercayai rakan mangsa.

Menurutnya, orang ramai diminta melaporkan penemuan ataupun mengenali kedua-duanya di balas polis berhampiran untuk membantu siasatan kes itu.

“Setakat ini, beberapa rakan mangsa sudah ditahan polis untuk siasatan lanjut dan direman selama seminggu,” katanya kepada pemberita ketika mengedarkan foto fit kedua-dua lelaki itu di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam
Sinar Harian, Selasa lalu menyiarkan laporan mengenai seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai nelayan akibat ditetak dengan senjata tajam di seluruh anggota badan, dipercayai dilakukan oleh rakan-rakannya sendiri dalam kejadian di kampung tersebut..

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu disaksikan orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan sebelum melaporkannya ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.

Sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di atas tanah dan sudah tidak bernyawa dengan tubuhnya dipenuhi kesan luka.

Namun, mangsa dipercayai sempat melarikan diri dan bergelut dengan sekumpulan suspek sebelum dia ditetak dengan kejam menggunakan senjata tajam dan kejadian itu disaksikan orang awam dan kejadian itu disaksikan orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Saksi melihat kelibat beberapa lelaki dari rumah yang dihuni sekumpulan warganegara Myanmar sedang berlari mengejar seorang lelaki dipercayai rakan mereka dengan menggunakan parang.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk dibedah siasat.