Search This Blog

Wednesday, November 23, 2011

Dua warga Iran edar syabu


SHAH ALAM 22 Nov. – Dua lelaki warganegara Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam kasut masing-masing semasa tiba di negara ini pada Julai tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Hojjat Shahbazi Vali, 28, dan Asghar Rah Gozar Jalil, 28, selepas berpuas hati bahawa kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.

Dalam penghakiman ringkasnya, beliau menolak keterangan kedua-dua tertuduh bahawa mereka tidak mengetahui tentang dadah itu kerana kasut jenis Puma berwarna hitam dan putih telah diberikan oleh seorang lelaki bernama Syed sebelum mereka berlepas ke Malaysia untuk melancong.

Menurut beliau, cerita tertuduh bahawa kasut yang diakui mahal itu diberikan oleh orang ketiga serta ketiadaan pengetahuan tentang dadah itu tidak logik, tidak munasabah serta tidak boleh diterima oleh akal yang waras.

Sebaliknya, jelas beliau, cara kedua-dua tertuduh berjalan berjengket-jengket semasa ditahan serta berat dadah yang disembunyikan di dalam kasut masing-masing menunjukkan mereka mempunyai pengetahuan tentangnya.

Hojjat didakwa mengedar 465 gram syabu (methamphetamine), manakala Asghar pula didakwa mengedar 476 gram dadah daripada jenis yang sama di Kawasan Tuntutan Bagasi F, Balai Ketibaan, Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dekat sini pada pukul 11 malam, 21 Julai 2010.

Hojjat yang merupakan pemandu teksi dan pekerja gimnasium, Asghar, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamalia Yahdi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment