IPOH - Dua penuntut UiTM Seri Iskandar maut apabila kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori muatan tempurung kelapa sawit di Kilometer 7 Jalan Ipoh-Lumut, pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Hilmi Md Yusoff, 21, dari Taman Perpaduan Ulu Kinta dan Ain Nadiea Baharuddin, 21, dari Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan adalah penuntut jurusan Ijazah dan Diploma Ukur Bahan di universiti berkenaan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, kedua- dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Lumut.
“Siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu Muhammad Hilmi dari arah Jelapang menghala ke Lumut dipercayai memotong kenderaan di hadapannya sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Mangsa yang gagal mengawal kenderaan bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.
Lori terbabit turut terbabas akibat pelanggaran itu namun pemandunya terselamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam perkembangan sama, Wan Shahruddin berkata, pemandu kereta jenis Honda CRV turut melanggar bahagian belakang Kancil namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.
“Mayat mangsa dihantar di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.
Polis akan meneruskan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.
Ain Nadiea penuntut cemerlang
TUNANG kepada kakak Ain Nadiea yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, sepatutnya mangsa pulang ke rumah mereka di Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan pagi semalam.
“Bagaimanapun, arwah tidak berbuat demikian sebaliknya menuju ke Lumut bersama rakan baiknya itu.
“Namun kira-kira jam 10 lebih kami menerima panggilan daripada abang menyatakan arwah terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB.
Katanya, Ain Nadiea adalah anak bongsu daripada lima adik beradik dan seorang penuntut cemerlang dalam jurusan yang diambil.
“Malahan, kini arwah sibuk mengambil kursus ekspres bagi menamatkan program diploma supaya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam kursus yang sama.
“Berkemungkinan juga arwah bersama rakannya dalam perjalanan ke kampus untuk menghadiri kelas bagi kursus itu,” katanya.
Berhubung kaitan hubungan Ain Nadiea dan Muhammad Hilmi beliau berkata, mereka berdua sudah saling mengenali sebelum melanjutkan pelajaran di UiTM.
Menurutnya, keluarga mereka juga mengenali Muhammad Hilmi yang dikatakan teman istimewa kepada Ain Nadiea.
Pemandu lori masih terkejut
“KELIBAT kereta Kancil yang cuba memotong kenderaan lain membuat saya tersentak sehingga menyebabkan lori yang dipandu terbabas ke arah jalan bertentangan serta melanggar pengadang jalan.”
Itulah luahan pemandu lori, AGopi, 31, yang terselamat dalam kemalangan maut itu.
Beliau yang sudah sembilan tahun memandu lori berkata, kejadian kemalangan itu adalah pertama kali berlaku dalam hidupnya.
“Saya cuba mengelak daripada melanggar kereta itu namun gagal.
“Kejadian itu juga berlaku hanya dalam sekelip mata,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian yang menyebabkan dua maut serentak.