Bahagian-bilik-tidur-dan-dapur-rumah-Lam-ditibus-tanah-runtuh

GUA MUSANG - Dua beranak nyaris maut apabila sebahagian rumah mereka ranap ditimbus kejadian bukit runtuh dalam kejadian hujan lebat di kampung Limau Kasturi, dekat sini, petang kelmarin.

Sukhon Niamket, 36, bagaimanapun cedera di bahagian belakang dan punggung kerana terpaksa terjun dari rumahnya sebaik rumahnya bergegar dirempuh bukit runtuh dalam kejadian jam 7 petang petang.

Anak lelakinya, Lam Kok Meng, 13, tidak cedera walaupun terpaksa terjun sama bersama ibunya untuk menyelamatkan diri mengelakkan tertimbus dalam runtuhan tanah bukit itu.

Menurutnya, dia cemas apabila terdengar bunyi letupan kuat dan terus mengheret tangan anaknya terjun dari pintu depan kerana melihat tanah bukit runtuh begitu cepat.

“Sebaik saya terjatuh di depan rumah, sempat melihat tanah bukit itu meranapkan bilik tidur dan dapur rumah sewa saya itu hingga tidak boleh berbuat apa sambil merenung nasib hidup selepas ini.

“Kebetulan pula ketika kejadian suami saya Lam Kang Chai, 60, tiada di rumah kerana berada di Bandar Gua Musang berikutan ada urusannya dia sendiri,” katanya.

Lam pula berkata, sebaik dia menerima telefon daripada anak lelakinya menyatakan kejadian tersebut terus bergegas pulang dan terkejut melihat sebahagian rumah yang disewanya itu ranap sama sekali ditimbus tanah.

“Saya hanya mampu memujuk isteri bersama anak saya itu bersabar kerana menganggap kejadian tersebut di luar jangkaan dan tidak ada siapa yang tahu hendak berlaku kejadian seperti itu,” katanya.

Beliau berkata, kini dia sekeluarga mendapat kebenaran sementara tinggal di kuarters guru lama berhadapan Stesen Kereta api Limau Kasturi dan selepas ini akan cari rumah sewa lain.

Seorang lagi penduduk, Harun Junoh, 39, berkata, rumahnya juga mengalami kerosakan teruk di bahagian dapur di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Limau Kasturi kerana ditimbus bukit runtuh.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang ketika dia sekeluarga tiada di rumah kerana berada di rumah mentua tidak jauh dari situ.

“Apabila saya pulang kira-kira jam 8 malam mendapati bahagian dapur rumah ranap ditimbus tanah bukit yang runtuh ketika hujan lebat menyebabkan saya mencari peralatan dapur yang tertimbus itu.

“Sebelum ini tidak pernah berlaku demikian, tetapi saya bersyukur kerana tidak ada di rumah sewaktu kejadian, jika tidak saya sekeluarga berdepan dengan kejadian tidak diingini,” katanya.