KUALA LUMPUR - Seorang doktor hospital swasta semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membuat kenyataan palsu bagi pendaftaran seorang bayi perempuan berusia lapan hari, tahun lalu.

Dr Mohammad Feizal Abdullah, 72, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hospital dekat Jalan Ipoh, Sentul antara 24 Oktober dan 1 November 2010 mengikut Seksyen 36(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang membawa hukuman maksimum penjara 12 bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Parvin Hameedah Natchair membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, tarikh sebutan kes itu belum ditetapkan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail manakala Mohammad Feizal tidak diwakili peguam.

Pada 18 November lalu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan seorang bayi perempuan berusia dua bulan enam hari, antara 26 Jun dan 21 September 2010.