Didakwa rompak guna pisau

GEORGETOWN - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan merompak secara berkumpulan bersenjatakan pisau membabitkan wang tunai dan barangan bernilai RM2,000 milik seorang lelaki, Jun lalu.

Mohd Rahmad Abdul, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dari Pintasan Pasir Belanda, Teluk Kumbar, Bayan Lepas, didakwa bersama-sama dua rakan yang masih bebas merompak Tan Chin Leong, 40, di kedai Internet Lintang Sungai Tiram, Bayan Lepas, kira-kira jam 4.15 pagi, 17 Jun lalu.

Antara barang yang dirompak ialah wang tunai RM978, telefon bimbit dan dompet mengandungi lesen memandu serta dua kad kredit.

Untuk kesalahan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Sitarun Nisa kemudiannya membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 9 Januari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen