penjenayah

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 110 pada September tahun lalu.

Tertuduh, Aizat Awalluddin, 22, dari Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu mengaku mencuri motosikal itu yang diletakkan di bawah garaj, bahagian dapur rumah mangsa di Kampung Alor, Atas Tol, di sini, pada 11 September 2010.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 11 September 2010, jam 11 malam hingga 12 September 2010, jam 6.45 pagi bertempat di bawah garaj, Kampung Alor, Atas Tol, di sini didakwa melakukan kesalahan mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang bernilai RM2,500 milik Mohamad Efindy Mohamed Saleh, 25.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan kes, pada 11 September 2010 kira-kira jam 11 malam, mangsa yang juga seorang penuntut tahun tiga di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah meletakkan motosikal miliknya itu di bawah garaj, di bahagian dapur rumahnya.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, kira-kira jam 6.45 pagi, mangsa dapati motosikal itu telah tiada dan yakin ia telah dicuri, mangsa terus membuat laporan polis di Balai Polis Chendering, di sini.

Susulan laporan diterima, pada 13 September iaitu sehari selepas laporan dibuat, kira-kira jam 3.20 pagi, anggota polis cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu telah membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Impian Murni, Kampung Bukit Datu, di sini.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun telah ditahan dan polis turut berjaya menjumpai sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang berada di hadapan rumah berkenaan.

Setelah membuat pemeriksaan dan membuat semakan dalam sistem kompol, polis dapati motosikal berkenaan milik mangsa, yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Pada 23 November 2010 kira-kira jam 11.10 malam, hasil maklumat yang diberikan oleh lelaki berkenaan, polis telah menyerbu dan membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Baru, Seberang Takir, di sini serta telah berjaya menahan tertuduh.