daun ketum

KUALA PERLIS - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup tiga guni daun ketum ke negeri ini dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Perlis, minggu lalu.

Ketua Penguat kuasa Daerah Maritim Satu Langkawi APMM, Kapten Pertama Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata, bot ronda APMM mengesan sebuah vesel di lokasi 0.1 batu nautika pantai Kuala Perlis dari perairan Thailand dalam keadaan bergelap dan mencurigakan malam Khamis lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam vesel itu mendapati ketiga-tiga guni berkenaan mengandungi tumbuhan hijau yang disyaki daun ketum.

“Ketiga-tiga guni itu dilabelkan sebagai benih padi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa. Berat setiap guni dianggarkan 10 kilogram (kg),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Abdul Rahim berkata, ketiga-tiga guni itu di bawa ke pejabat APMM Pangkalan Kuala Perlis untuk tindakan lanjut dan nilainya masih dalam proses taksiran.

“Kesalahan ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Racun 1952. APMM akan meningkatkan pemantauan di bahagian sempadan demi memastikan usaha menyeludup bahan terlarang termasuk dadah ke negara ini dipatahkan,” katanya.