Bersalah lindungi Pati

TELUK INTAN - Tindakan seorang majikan warga tempatan memberi perlindungan dan pekerjaan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) menyebabkan dia didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan, semalam.

Tertuduh, Ibrahim Ishak, 55 didapati bersalah kerana memberi perlindungan kepada seorang warga Indonesia, Mustakim, 33, yang bekerja sebagai peniaga ayam di premisnya di Pasar Awam Taman Bunga Raya, Tanjong Malim.

Pendakwaan ke atas Ibrahim telah dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Teluk Intan, Roshamsul Kamal Ahmad Tajri.

Hakim Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Ahmad Hidayat Md Nor menjatuhkan hukuman ke atas Ibrahim, setelah berpuas hati dengan hujah yang disampaikan Roshamsul.

Ibrahim yang tidak diwakili mana-mana peguam hanya mengangguk tanda faham dengan pertuduhan ke atas dirinya dan mengaku bersalah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta
Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Dalam hujahnya, Roshamsul Kamal berkata, perbuatan Ibrahim melindungi Pati merupakan satu kesalahan yang sangat serius, sama seperti melindungi penjenayah.

Roshamsul Kamal turut meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas Ibrahim sebagai iktibar kepada rakyat negara ini agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Ibrahim yang hadir bersama isteri dan anak lelakinya kelihatan tenang mendengar hukuman dijatuhkan oleh Ahmad Hidayat dan terus membuat bayaran di kaunter pembayaran Mahkamah Sesyen Teluk Intan, sebaik selesai perbicaraan.

Ibrahim telah ditahan oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Imigresen pada jam 4.30 petang, 31 Oktober lalu dan telah dituduh melanggar peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63.

Sabit kesalahan di bawah akta berkenaan membolehkan dirinya didenda tidak kurang dari RM10,000 atau tidak lebih RM50,000 bagi setiap orang yang dilindungi.

Terdahulu, Mustakim yang ditahan oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Imegresen Teluk Intan pada 28 Oktober lalu telah dijatuhkan hukuman penjara empat bulan berkuat kuasa daripada tarikh ditangkap dan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Mustakim turut akan diusir keluar dari negara ini sebaik tamat tempoh dipenjara.