Search This Blog

Thursday, November 10, 2011

Bekas kontraktor didakwa perdaya ahli perniagaan

 SHAH ALAM: Seorang bekas kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu ahli perniagaan dengan mendakwa boleh mendapatkan dua kawasan konsesi pembalakan seluas 180 ekar (kira-kira 73 hektar) di Terengganu bernilai RM426,740, lapan tahun lalu.
Choong Soon Sing, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa memperdaya Leong Sow Lai, 50, dengan memberitahu bahawa dia boleh mendapatkan kawasan konsesi pembalakan di Gapi, Bukit Paun, Terengganu seluas 30 ekar (kira-kira 12 hektar).

Lelaki itu juga mendakwa boleh mendapatkan satu lagi kawasan konsesi pembalakan di Hulu Berang, Terengganu seluas 150 ekar (kira-kira 60 hektar).

Perbuatannya mendorong Leong menyerahkan RM426,740, yang tidak akan berlaku jika dia tidak diperdayakan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aslam membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 7 Disember ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Asma Nadiah Abd Rahman mencadangkan tertuduh dibenarkan jaminan RM50,000.

Bagaimanapun, Choong yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan menanggung empat anak dan menyara ibu bapanya.

Selain itu, dia yang kini bekerja menjaga ladang hanya mampu menyediakan antara RM4,000 dan RM5,000 saja.

No comments:

Post a Comment