Search This Blog

Wednesday, November 30, 2011

Bapa kerah dua anak jadi penjenayah

KUCHING: Seorang bapa sanggup mengarahkan dua anak lelakinya berusia 17 dan 22 tahun melakukan kegiatan pecah rumah sebelum tiga beranak itu dicekup polis, petang kelmarin.

Kegiatan bapa durjana berusia 48 tahun yang turut bersubahat dengan teman wanitanya berusia 29 tahun itu dihidu selepas polis menahan dua anak lelaki suspek serta seorang rakannya di sebuah rumah di Tabuan Hulu dekat sini, Sabtu lalu.


Difahamkan, kegiatan jenayah itu dirancang rapi dengan menyasarkan beberapa rumah di sekitar bandar raya ini.

Dua anak suspek memecah masuk dan melarikan beberapa barangan berharga sebelum menjadikan sebuah bilik disewa teman wanita seorang daripada lelaki terbabit di Batu Tiga di sini, sebagai stor penyimpanan barangan curi.


Namun, selepas beberapa bulan bermaharajalela, bapa durjana terbabit dicekup sehari selepas kedua-dua anak lelakinya ditahan berdekatan restoran makanan segera di Jalan Rock, Batu 2 1/2, kira-kira jam 4.45 petang Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, kedua-dua anak lelaki itu ditahan bersama seorang lagi rakan mereka berusia 22 tahun.

Beliau berkata, penahanan lelaki itu turut membawa kepada penemuan beberapa barangan elektronik serta barangan lain dipercayai dicuri.


“Selepas disoal siasat sebaik ditahan jam 6 petang hari sama, suspek membawa polis ke tempat barangan disimpan iaitu di sebuah bilik sewa milik teman wanitanya.

“Setiba di sana, suspek menunjukkan seorang wanita dipercayai kekasih bapanya dan menetap bersama di bilik berkenaan. Selepas ditanya, wanita terbabit menyerahkan kunci bilik dan menunjukkan tempat barang disembunyikan iaitu dalam almari.


“Semua suspek dipercayai terbabit dalam enam kes pecah rumah yang dilaporkan di sekitar bandar raya ini, antaranya di Taman Shun Tak, Polarwood Estate, Taman Nam Hoi, Tabuan Heights, Taman Victiry dan Jalan Tun Jugah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini, semalam.


Mun berkata, dalam serbuan itu, polis merampas beberapa barangan elektronik termasuk alat pemain cakera padat vodeo digital (DVD), komputer mini, televisyen plasma dan pembesar suara.


“Turut ditemui lima anting-anting, jam tangan berjenama termasuk Rolex dan komputer riba, namun nilai rampasan keseluruhan masih dalam siasatan.


“Dua anak lelaki serta seorang rakan mereka direman tujuh hari manakala bapa terbabit bersama teman wanitanya direman tiga hari bermula semalam (kelmarin) untuk membantu siasatan.


“Susulan penahanan semua suspek, polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini,” katanya.


Dalam pada itu, Mun berkata, orang ramai yang kehilangan barangan berharga diminta menghubungi IPD Kuching atau tampil ke Balai Simpang Tiga atau menghubungi Asisten Superintendan Abdul Rahim Abdullah Rahman di talian 013-8000777.

myMetro | Bapa kerah dua anak jadi penjenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment