JAKARTA - Angka korban kejadian jambatan runtuh di pusat bandar Indonesia telah meningkat kepada 11 orang, semalam manakala 30 lagi yang dilaporkan hilang dikhuatiri maut.

Ketua pasukan pencari dan penyelamat, Sunarbowo Sandi berkata, sebahagian mangsa dipercayai masih terperangkap di dalam bas dan kereta yang telah tenggelam di dalam Sungai Mahakam pada hari kejadian.

Jambatan berusia 10 tahun sepanjang 700 meter itu dilaporkan runtuh, Sabtu lalu selepas kabel keluli sokongan yang digunakan untuk kerja membaik pulih didakwa telah patah secara tiba-tiba.

Jambatan tersebut menjadi laluan utama menghubungkan bandar Tenggarong dan Samarinda di wilayah Kalimantan Timur.