Search This Blog

Thursday, November 10, 2011

4 cubaan bawa dadah

 SEPANG: Empat cubaan membawa masuk dadah ke negara ini berjaya ditumpaskan pihak kastam selepas pemeriksaan rapi terhadap tiga rakyat asing dan seorang lelaki tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, dalam tempoh 24 jam baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Datuk M Govinden berkata, percubaan pertama membabitkan remaja tempatan berusia 19 tahun yang tiba dari Hong Kong dengan sebuah bagasi berisi 15 bungkusan putih ditutupi kertas karbon pada jam 1.15 tengah hari, Sabtu lalu.

“Bagasi itu menunjukkan imej mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas dan apabila pemeriksaan dilakukan, terdapat serbuk putih kristal di dalamnya. “Ujian awal menggunakan kit menunjukkan ia dadah jenis ketamine dengan berat 5.4 kilogram (kg) bernilai RM102,600,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. Govinden berkata, percubaan kedua dan ketiga membabitkan dua lelaki dari Eropah berusia 53 dan 42 tahun yang tiba melalui penerbangan dari Dubai ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan pada jam 10.20 dan 10.30 malam pada hari sama selepas diperhatikan pegawai kastam.

“Bagasi dibawa suspek pertama menunjukkan imej meragukan ketika melalui mesin pengimbas. Curiga dengan lelaki terbabit, pegawai kastam melakukan pemeriksaan rapi terhadap bagasinya. “Kami menemui syabu atau methamphetamine seberat 4.25 kg dianggarkan bernilai RM1.06 juta. Ia disembunyikan di ruang yang direka khas pada bahagian bawah bagasi,” katanya. Menurutnya, suspek kedua yang ditahan 10 minit kemudian pada awalnya cuba keluar sehelai sepinggang, malah selepas ditanya lelaki terbabit memberitahu memasuki negara ini tanpa membawa bagasi. “Pegawai kastam memeriksa tiket penerbangannya dan mendapati memang ada bagasi. Imbasan pada bagasi tidak menunjukkan imej mencurigakan, tetapi selepas diperiksa. ada syabu pada ruang khas bawah bagasi seberat 4.25 kg dianggarkan bernilai RM1.06 juta.

“Siasatan mendapati mereka berdua sebenarnya rakan dan dijangka berada di negara ini kira-kira 10 hari, malah sudah menempah hotel lima bintang di Ampang, Selangor,” katanya. Beliau berkata, dalam masa tidak sampai dua jam selepas kes ketiga, seorang lelaki warga Nigeria berusia 33 tahun dari Bangkok didapati membawa masuk syabu seberat 0.35 kg dianggarkan bernilai RM87,500.

“Empat suspek itu kini direman tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori,” katanya.

No comments:

Post a Comment