Polis

BAGAN SERAI - Kumpulan Walad Kechik yang terlibat dalam kes curi motosikal sekitar daerah ini tumpas dengan penahanan 12 remaja baru-baru ini.

Tangkapan itu dilakukan oleh Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Task­force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dalam Ops Curi Motosikal pada 10 hingga 25 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superitendan Mat Fauzi Na­yan berkata, pada operasi itu, menahan dua pelajar tingkatan lima ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pe­la­jaran Malaysia di Nibong Tebal.

Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya turut menahan 10 lagi rakan mereka berumur 17 hingga 24 tahun dipercayai ahli kumpulan Walad Kechik.

“Dua dari 12 remaja berkenaan mempunyai lima rekod jenayah lampau dan telah pun dituduh di mahkamah.

“Hasil siasatan, kami menemui 12 rangka motosikal yang dibuang ke dalam tangki najis dan tali air di kawasan Sungai Acheh serta Bagan Serai dengan bantuan Polis Marinm” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Bagan Serai, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapati, remaja berkenaan meleraikan komponen motosikal yang dicuri mereka dan menjualnya sebagai alat ganti.

Jelasnya, penahanan itu, turut membantu pihaknya menyelesaikan tujuh kes curi motosikal di daerah ini, Selama, Seberang Perak dan Seberang Prai, Pulau Pinang. “Kini, kami giat menjalankan operasi bagi membanteras jenayah curi motosikal di daerah ini walaupun statistik kes berkenaan di daerah ini semakin menurun.,” katanya.