pembeli

DAMANSARA - Lebih 100 pembeli unit kondominium di Taman Tun Dr Ismail, di sini mendakwa tertipu dengan tindakan sebuah syarikat pemaju yang bertindak menjual rumah mereka kepada pemilik baru tanpa pengetahuan.

Rata-rata mangsa mendakwa, unit kondominium yang dibeli sekitar 1995 itu sudah terlepas ke tangan pemilik baru selepas projek berkenaan terbengkalai hampir 16 tahun.

Seorang pembeli, Wan Razali Ali, 62, berkata setiap bulan dia perlu membayar ansuran pinjaman bank sebanyak RM2,100 selepas membeli rumah di kawasan itu yang berjumlah RM185,000.

Menurutnya, baki pinja­man­nya kini­ hanya tinggal RM90,000, namun terkejut selepas dihubungi wakil pemaju mengatakan rumah itu bukan lagi miliknya.

Seorang lagi pembeli, Padzilah Ibrahim, 66, berkata, dia sebelum ini membeli unit kondominium itu dengan harga RM184,000 dan dinamakan atas nama anak-anaknya.

“Saya sudah membayar RM63,000 sebagai deposit pembelian kepada pemaju manakala bakinya dibayar menerusi pinjaman bank,” katanya ketika ditemui di Pejabat Umno Bahagian Segambut, di sini.

Padzilah berkata, selepas pembayaran itu, pemaju kedua meminta RM40,000 sebagai bayaran tambahan mengikut harga semasa sekiranya mahu terus memiliki rumah berkenaan.

“Saya bersetuju untuk membayar jumlah wang yang dipinta, namun selepas beberapa ketika saya gagal menghubungi syarikat itu, kalau dapat hubungi sekalipun, mereka seperti mahu mengelak,” katanya.

Dalam pada itu beberapa pembeli lain yang ditemui turut menyatakan rasa kesal dengan situasi yang berlaku dan berharap masalah mereka dapat diselesaikan pihak berwajib.

Ketua Umno Bahagian Segambut, Datuk Kamarudin Ambok ketika ditemui berkata, pihaknya akan mengajukan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini adalah satu bentuk penipuan, kerugian yang dialami pembeli sangat besar, jadi perbincangan segera perlu dibuat bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.