Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Wanita redah api selamat suami lumpuh

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

KOTA BHARU 14 Okt. – Demi kasihnya kepada si suami, seorang wanita sanggup meredah api untuk menyelamatkan lelaki itu yang lumpuh dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Jalan Sekolah Cina di sini malam tadi.

Dalam kebakaran pukul 8.30 malam di Jalan Sekolah Cina di sini, Rubiah Lokman, 49, nekad mengheret suaminya, Mohd. Rasdi Rashid, 49, yang tidak dapat bergerak kerana menghidap strok.

Turut musnah dalam kebakaran itu adalah lima buah rumah lain manakala empat lagi rosak.

Menurut Rubiah, dia berada di luar rumah ketika kejadian dan hanya menyedari berlaku kebakaran apabila terdengar jirannya menjerit memaklumkan rumahnya terbakar.

“Bila saya masuk ke dalam rumah, dapur sudah terbakar dan saya segera mencari suami saya untuk menyelamatkannya.

“Saya menemui suami di ruang tamu lalu mengheret dia keluar dari rumah sehingga ke tempat selamat kira-kira 30 meter sebelum ada beberapa penduduk lain membantu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Rubiah bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali suaminya yang melecet di bahagian kaki akibat diheret.

Menurut Rubiah, ketika itu, hanya dia dan suaminya berada di rumah manakala anak perempuannya, Nurul Fatin, 14, keluar untuk membeli lauk untuk makan malam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kelantan, Anuarrul Hakim Mohny ketika dihubungi hari ini berkata, api yang bermula dari sebuah rumah di situ marak dengan pantas ekoran kedudukan rumah yang rapat.

Katanya, bomba bagaimanapun berjaya mengawal api kira-kira 30 minit selepas itu dan menyelamatkan beberapa buah rumah lain daripada turut hangus.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.55 malam dan kita segera menggerakkan tiga buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor berserta 20 anggota.

“Tiada kemalangan jiwa berlaku kerana kebanyakan penghuni tidak ada di rumah dan punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment