Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Wanita disyaki seludup dadah ke Indonesia


KLANG 11 Okt. - Polis sedang menyiasat kemungkinan wanita Indonesia yang ditahan dalam serbuan di sebuah hotel tiga bintang di sini Ahad lalu, berperanan membawa dadah dari negara ini ke Indonesia.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, berdasarkan maklumat, wanita berusia 30-an itu datang ke Malaysia sejak sebulan lalu dan berdasarkan pasport miliknya, dia sepatutnya pulang ke Indonesia semalam.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati, wanita berkenaan mengaku baru berkenalan dengan suspek lelaki yang dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah yang mati dalam serbuan tersebut.

"Kami masih menyiasat kemungkinan itu dan buat masa ini wanita terbabit kini ditahan reman sehingga 16 Oktober ini bersama dua lagi suspek lelaki yang turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Dua suspek lelaki yang berusia 30-an dan 50 tahun pula dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan di sekitar Klang dan sindiket yang tumpas dipercayai telah aktif sejak setahun lalu," kata beliau kepada pemberita di sini petang ini.

Pada sidang akhbar itu, Mohamad turut mendedahkan, kesemua rampasan dadah yang dibuat semasa serbuan Ahad lalu bernilai RM79,000 termasuk wang tunai RM3,730.

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas adalah 426 biji pil ekstasi, 150 gram syabu, 251 gram heroin dan satu peket ganja.

Menurut beliau, kesemua dadah itu ditemui pada mayat suspek lelaki yang mati dan di dalam kereta Proton Iswara yang didaftar menggunakan nama seorang lelaki.

Ujarnya, siasatan juga mendapati kesemua yang ditahan telah menginap di hotel tersebut selama tiga hari dan setiap hari akan melanjutkan tempoh sewaan agar kelihatan seperti baru menginap di situ.

Utusan Malaysia Online - Kota:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment