Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Tipu bekal amah

myMetro | Tipu bekal amah:

KUALA LUMPUR: Biarpun pengumuman status pembekuan pembantu rumah asing dari Indonesia hanya diketahui selepas perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Lombok, 22 Oktober ini, satu sindiket dikesan mengambil kesempatan menipu orang ramai kononnya dapat membekalkan tenaga kerja dari negara itu.

Kegiatan itu dikesan selepas terdapat aduan daripada beberapa mangsa yang terpedaya dengan janji manis ejen terbabit yang mendakwa mempunyai akses untuk membawa masuk pembantu rumah asing.


Terbaru, seorang bekas penjawat awam bergelar Datuk kerugian RM1,000 ditipu seorang lelaki yang mendakwa ejen amah dan boleh mendapatkan khidmat warga Indonesia terbabit tanpa sebarang masalah dengan mengenakan bayaran pada kadar tertentu.

Mangsa, Datuk Abu Hassan Abdul Rahman, 62, berkata, dia menerima tawaran daripada wakil sindiket berkenaan bulan lalu untuk menjaga cucunya kerana anaknya sibuk bekerja dan pada masa sama perlu menguruskan rumah tangga.


Katanya, sebaik bayaran RM1,000 dibuat, lelaki itu mengarahkan mereka sekeluarga menjemput amah berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun selepas beberapa jam menunggu, kelibat wanita itu tidak kelihatan.


“Anak saya cuba menghubungi ejen terbabit, namun gagal. Selepas mencuba beberapa kali, baru sedar bahawa kami menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, dia kesal dengan kejadian itu kerana mereka ditipu ketika keadaan begitu memerlukan.


“Saya berharap agar orang ramai berhati-hati dengan tawaran seumpama ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan menggubal undang-undang berkaitan dan menyediakan satu skim membantu keluarga mendapatkan pembantu rumah tempatan,” katanya. Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, kegiatan sindiket itu jelas satu penipuan kerana sehingga kini, belum ada kata putus mengenai perkara itu.

Katanya, sewajarnya orang ramai memeriksa kesahihan dakwaan itu kerana setakat ini, umum mengetahui bahawa khidmat pembantu asing dari Indonesia masih lagi dibekukan.


“Apa yang jelas, kita menjangkakan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Justeru, saya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum menerima apa juga bentuk tawaran mendapatkan amah asing ini,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment