Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Tercampak 10 meter dirempuh



SH:

BALING - Sepasang warga emas parah setelah motosikal yang ditunggangi mereka dilanggar sebuah kereta dari arah belakang berdekatan dengan rumah mereka di Kampung Rambong Batu Tujuh.

Pasangan itu, Hasan Puteh, 71, dan isterinya, Safiah Senik, 73, terlantar sakit sejak sebulan lalu berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki.

Hasan berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari pekan Baling ke rumahnya selepas selesai membeli barangan dapur.

“Ketika saya membelok untuk ke persimpangan rumah, sebuah kereta terus melanggar bahagian belakang motosikal sehingga saya dan isteri terpelanting kira-kita 10 meter dari tempat kejadian.

“Saya terpelanting di bahu jalan, manakala isteri terpelanting di atas jalan. Sehubungan itu, isteri saya mengalami kecederaan yang lebih parah apabila tangan dan kakinya patah. Kini, dia (isteri) terpaksa menanggung derita apabila kakinya terpaksa dimasukkan besi,” katanya.

Menurutnya, selepas kemalangan, dia dan isteri dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan ditahan selama 15 hari di wad,” katanya.

Katanya, walaupun kejadian berlaku sebulan lalu, dia masih belum lagi dapat berjalan dengan sempurna.

“Saya tak mampu berjalan, kalau nak ke mana-mana, saya terpaksa mengesot sehingga ke bilik air,” katanya.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.00 malam itu membuatkannya trauma untuk menunggang motosikal berikutan kemalangan tersebut. Hasan berkata, setiap bulan dia dan isteri terpaksa mendapat rawatan susulan di HSAH, menyebabkan mereka terpaksa menyewa kenderaan untuk berulang alik ke hospital berkenaan.

“Mujurlah baru-baru ini ambulans Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) membantu membawa kami ke hospital berkenaan untuk rawatan.

“Saya juga berharap permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diluluskan bagi membolehkan kami menggunakan bantuan itu untuk kos rawatan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, mereka tidak mampu lagi untuk bekerja dan bergantung kepada seorang anak mereka yang tinggal bersama Mohd Khairuddin, 30, untuk mencari pendapatan dengan menoreh getah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mohd Sofian Isa berkata, beliau sudah memanjangkan surat permohonan bagi membolehkan pasangan emas itu mendapat bantuan JKM.

“Memandangkan mereka susah dan memerlukan bantuan terutamanya kos perubatan saya memanjangkan surat permohonan dan berharap mendapat perhatian,” katanya.

Pengerusi Kebajikan Umno Bahagian Baling, Noor Azman Ramli yang melawat pasangan emas itu turut menyampaikan bantuan barangan makanan bagi meringankan bebanan keluarga itu. 'via Blog this'

No comments:

Post a Comment