Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Taktik baru samun mangsa



KUALA LUMPUR – Dua lelaki bermotosikal menggunakan modus operandi memecahkan cermin kereta sebelah penumpang di Jalan Abu Bakar, Seksyen 16, Petaling Jaya sebelum melarikan barang berharga milik beberapa mangsa dalam tempoh sejam, pagi kelmarin.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dikatakan menjadikan mangsa yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di jalan tersebut antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi sebagai sasaran mereka.

“Kejadian pertama berlaku pada 7.30 pagi apabila dua lelaki bermotosikal menghampiri seorang wanita berusia 50 tahun.

“Suspek kemudian menggunakan sebatang kayu untuk memecahkan cermin kenderaan sebelah kiri sebelum merampas beg tangan dan beg kerja mangsa yang diletakkan di tempat duduk pemandu,” katanya semalam.

Menurutnya, selang beberapa minit kejadian itu, seorang lagi wanita yang berusia 50 tahun juga turut menjadi mangsa dua lelaki memecahkan cermin kenderaannya menggunakan pengunci stereng sebelum melarikan beg tangannya.

“Kira-kira 20 minit kemudian, seorang lagi mangsa berusia 50 tahun turut menjadi mangsa penjenayah menggunakan modus operandi sama apabila beg tangannya dilarikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, kedua-dua suspek itu kemudian menjadikan seorang lelaki berusia 57 tahun sebagai mangsa di persimpangan sama kira-kira 8.30 pagi.

“Bagaimanapun, suspek gagal dalam cubaan menyamun mangsa terakhir iaitu seorang wanita berusia 40 tahun apabila cermin kenderaan mangsa gagal dipecahkan sepenuhnya.

“Ia menyebabkan suspek sukar untuk mengambil beg tangan malah mangsa dapat melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

No comments:

Post a Comment