Search This Blog

Thursday, October 27, 2011

Suspek tikam polis ditahan

HULU SELANGOR: Seorang lelaki berusia 27 tahun disyaki terbabit menikam seorang anggota polis sebelum mangsa ditolak ke dalam gaung di Jalan Besar Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka, ditahan di Medan Selera Liga Mas, Batang Kali, di sini, ketika leka menyanyi dan berkaraoke, awal pagi semalam.
Berikutan penangkapan suspek, polis menemui semula motosikal mangsa yang dilarikan dalam kejadian itu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy berkata, tindakan pantas orang awam menyalurkan maklumat berjaya memberkas suspek yang leka menjamu selera dan berkaraoke di medan selera berkenaan.

“Operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, Asisten Superintendan Mohd Yatim Osman, kira-kira jam 1 pagi itu memeriksa nombor pendaftaran motosikal.

“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal dilaporkan hilang itu berkaitan kes samun dan mendatangkan kecederaan di Hutan Percha, Alor Gajah,” katanya.

Bertindak atas maklumat itu, pihaknya memasuki medan selera berkenaan sebelum menghampiri suspek yang cuba melarikan diri hingga berlaku pergelutan.


“Suspek akhirnya diberkas dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk menerima rawatan pesakit luar akibat kecederaan ketika pergelutan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes gaduh dan mencuri motosikal.
Menurutnya, polis turut menemui satu peralatan dipercayai digunakan suspek menikam mangsa di rumahnya di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, di sini.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan niat baik seorang anggota polis membantu penunggang motosikal yang disangkakan kehabisan petrol membawa padah apabila mangsa ditikam sebelum ditolak ke dalam gaung.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, motosikal Honda EX5 milik mangsa turut dilarikan penjenayah terbabit. Menurut mangsa, kejadian berlaku apabila dia ke tempat kejadian selepas menerima aduan penduduk kampung mengenai tindak-tanduk mencurigakan seorang lelaki yang tidur di bawah pokok getah sambil memakai topi keledar.

No comments:

Post a Comment