Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Sumbat bayi dalam tangki



KEMAMAN – Seorang gadis nekad menyumbat bayi lelaki yang baru dilahirkan ke dalam tangki pam tandas bagi me-ngelakkan kelahiran itu diketahui rakan-rakannya dalam kejadian di sebuah hostel sewa di Bandar Chukai, dekat sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, gara-gara panik dengan kelahiran anaknya itu gadis berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah kedai buku itu turut bertindak membuang uri dan tali pusat ke dalam lubang tandas dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi.

Bagaimanapun, tangisan bayi yang sayup-sayup didengari oleh rakan-rakan sehostel selain kesan tompokan darah dari tandas ke bilik tidur menyebabkan perbua-tan suspek yang menyembunyikan bayinya di dalam tangki pam tandas itu terbongkar.

Rakan sebilik dan rakan di bilik lain yang melihat suspek dalam keadaan lemah dan mencurigakan dengan terdapat kesan tompokan darah dari tandas hingga ke bilik mendesak suspek menceritakan perkara sebenar selepas gagal mengesan arah datangnya suara tangisan sayup-sayup itu.

Setelah didesak suspek kemudiannya mengaku menyorokkan bayinya dalam tangki pam tandas hostel mereka sebelum bayi malang itu ditemui dalam keadaan menyedihkan kira-kira satu setengah jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, bayi berkenaan dijumpai kira-kira jam 3.30 pagi selepas suspek sendiri menunjukkan tempat dia menyorokkan bayinya itu.

“Ketika ditemui bayi cedera di muka, kesejukan dan biru di seluruh badan sebelum suspek dan bayinya dibawa ke Hospital Kemaman.

“Bayi ditahan di wad kanak-kanak manakala suspek dimasukkan di wad bersalin dan kita dimaklumkan pihak hospital bahawa bayi dan suspek sekarang (petang semalam) berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Katanya, susulan kes berkenaan doktor hospital itu membuat laporan di Balai Polis Chukai kira-kira jam 8 pagi sebelum tempat kejadian telah dilawati oleh pihaknya bersama pasukan forensik ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Terengganu.

“Semua keterangan saksi juga telah kita ambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

No comments:

Post a Comment